picasion.com
-------------------------------------------------------------------------------

July 7, 2025

Menyingkap Kebijaksanaan Guru :

 MENYINGKAP KEBIJAKSANAAN GURU

1. Satu pertanyaan yang selalu merangsang pemikiran saya - kenapakah dalam SATU sistem persekolahan, negeri, daerah atau sekolah yang SAMA terdapat guru yang menonjol prestasi dan keberkesanannya, sebaliknya dalam masa yang sama terdapat juga guru yang sederhana atau rendah prestasi dan keberkesanannya?

2. Pada suatu ketika saya berpendapat ciri menonjol dan utama guru berkesan dan berprestasi tinggi ialah guru tersebut adalah guru ‘extra-miles’. Ini bermaksud guru berkenaan sentiasa berusaha lebih daripada yang dijangkakan. Mereka melakukan lebih daripada tanggungjawab biasa untuk mencapai matlamat dalam mendidik anak-anak muridnya. Pada dasarnya beliau melakukan lebih daripada sekadar keperluan minimum.

3. Masa berlalu, pertanyaan di atas sering berulang dalam fikiran saya kerana jawapannya masih tidak memuaskan hati, cenderung seperti penilaian ‘superficial’. Akhirnya saya berpendapat guru berkesan dan berprestasi tinggi itu amat dipengaruhi oleh KEBIJAKSANAAN guru berkenaan. Berikut sedikit huraian kenapa saya berpendapat sedemikian.

4. Seseorang yang memiliki ILMU PENGETAHUAN (Theoritical Knowledge) boleh jadi dia seorang yang pandai atau cerdik dalam bidangnya tetapi belum tentu dia seorang yang bijaksana jika dia tidak memiliki ILMU PENGALAMAN (Experiential Knowledge).

5. Walaupun seseorang itu mempunyai pengalaman yang lama atau pelbagai, dia tidak akan memiliki Ilmu Pengalaman jika dia tidak pernah belajar atau mengambil iktibar dari pengalaman yang dilaluinya (PELAJARAN YANG DIPELAJARI – ‘Lesson Learned’) 

6. Oleh sebab itu ‘Wisdom’ atau  ‘Kebijaksanaan’ sering kali dikaitkan dengan pengalaman praktikal. Dalam maksud yang lain, kebijaksanaan bukan sekadar memiliki pengetahuan abstrak atau teori tetapi berakar dalam pengalaman praktikal, kehidupan seharian yang dari semasa ke semasa mengumpul iktibar - ‘pelajaran yang dipelajari’ dan dapat menggunakan iktibar itu dengan berkesan dalam konteks baharu.

7. Dalam menyingkap kebijaksanaan guru yang berkesan dan berpretasi tinggi, berikut beberapa pemerhatian yang dapat saya kongsikan:

8. PERTAMA,  Sekadar mempunyai pengalaman tidak menjamin kebijaksanaan. Kebijaksanaan muncul apabila guru itu merenungkan pengalaman tersebut, memahami maknanya yang lebih mendalam, dan menerapkan pelajaran berkenaan dalam kehidupan. Sebagai contoh, seorang guru yang berulang kali menyedari pelajar bergelut dengan sesuatu topik mungkin menyesuaikan strategi pedagogi mereka, menunjukkan kebijaksanaan yang diperolehnya melalui refleksi.

9. KEDUA, kebijaksanaan termasuk keupayaan dapat melihat pola merentas pelajaran yang dipelajari dari pengalaman. Kebijaksanaan terserlah apabila guru itu boleh menghubungkan situasi yang kelihatan tidak berkaitan dan menggunakan dapatannya itu dalam konteks  yang  berbeza. Sebagai contoh, guru bijaksana menggunakan iktibar pengalaman gagal dalam pengajaran lalu untuk menghadapi cabaran masa depan atau membantu rakan gurunya yang lain.

10. KETIGA, Kebijaksanaan sering berpunca daripada pemahaman bahawa kesilapan dan cabaran adalah peluang untuk berkembang. Setiap pelajaran yang dipelajari membina kerendahan hati dan minda yang terbuka kepada pembelajaran berterusan. Sebagai contoh, guru yang bijaksana mengakui keterbatasan mereka dan menyesuaikan diri berdasarkan pengajaran yang dipelajari, menunjukkan kematangan dan kesedaran diri.

11. KEEMPAT, Iktibar dari pengalaman mendorong tindakan bijaksana. Kebijaksanaan bukan hanya tentang mengetahui; ia mengenai menggunakan pengetahuan dengan pertimbangan yang mendalam untuk mencapai hasil yang positif. Sebagai contoh, guru bijaksana menggunakan iktibar dari pengalaman lama mengajar untuk meningkatkan prestasi anak-anak murid dan membimbing rakan gurunya yang lain.

12. Kebijaksanaan Guru bermaksud kebolehan mereka untuk mensintesis, menyesuaikan, dan memanfaatkan pelajaran yang dipelajari dari pengalaman dengan cara yang bermakna dan berkesan iaitu mengubah pengalaman semata-mata menjadi ILMU PENGALAMAN yang sangat berharga.

Wallahu’alam.

~Amin Senin~

Copyright© All Rights Reserved PK Pentadbiran URESS|Mohammad Bin Said|02.01.2020|Hendak Maju Berusaha|
Back to top